kfchopexx2.transformed.jpg

Add Hope KFC kutip dana RM4.2 juta

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

PUTRAJAYA: Kempen inisiatif tanggungjawab korporat, Add Hope KFC yang dilaksanakan oleh KFC Malaysia, mencatatkan jumlah kutipan dana sebanyak RM4.2 juta pada tahun lalu, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun penganjurannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands), berkata kutipan dana berkenaan bermula Jun tahun lalu melalui penjualan set hidangan Add Hope KFC – platform derma dalam talian dan tabung derma yang diletakkan di semua restoran KFC di seluruh negara.

“Sebahagian besar hasil kutipan Akan disalurkan ke seluruh Malaysia melalui kerjasama erat KFC bersama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi tempatan kepada golongan miskin tegar, gelandangan dan mereka kurang berkemampuan secara lebih efektif.

“Pada masa sama, sebahagian lagi kutipan akan disalurkan kepada Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu individu kurang bernasib baik serata dunia akibat kebuluran,” katanya berucap pada acara larian amal ‘Add Hope Run – Stop Hunger’ di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, hari ini.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang ditemani isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam, turut berangkat mencemar duli menyempurnakan pelepasan peserta larian berkenaan.

Hadir sama, Ketua Depo Respons Kemanusiaan PBB bagi Program Makanan Sedunia, Carlos Melendez; Ketua Pegawai Perundangan KFC Asia & Pizza Hut Asia Pasifik, Madelene Sachi, dan jurucakap kempen, Scha Alyahya.

SEBAHAGIAN daripada peserta larian ‘Add Hope Run – Stop Hunger’ memakai pelbagai kostum di Dataran Putrajaya, Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

RAJA Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah diiringi Che Puan Khaleeda dan Kamaruzzaman pada perasmian larian ‘Add Hope Run – Stop Hunger’ di Dataran Putrajaya, Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kamaruzzaman berkata, kempen berkenaan Adalah satu perjalanan jangka panjang dan ia menuntut kerjasama semua pihak untuk bersama mencipta perubahan.

“Ucapan terima kasih Tak cukup untuk menyatakan penghargaan kepada kemurahan hati rakyat Malaysia. Kerana sumbangan ini, kami dapat menyalurkan hasil kutipan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Kempen Add Hope dilancarkan pada 2007 di bawah panji ‘World Hunger Relief’ dan ia Adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat Dunia KFC.

Penganjurannya bagi mengetengahkan dan memacu tindakan dalam gerakan menamatkan kebuluran dunia dengan meningkatkan wang kutipan setiap tahun untuk Program Makanan Sedunia oleh PBB.

Mengenai larian amal pada hari ini, seramai 2,500 peserta menyertai acara berkenaan membabitkan lima kategori iaitu sejauh satu kilometer (km) untuk larian santai sambil memakai pelbagai kostum, 3km, 6km, 8km dan 10km bermula dari Dataran Putrajaya.

Add Hope KFC kutip dana RM4.2 juta

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *