20nazrin1.transformed_1.jpg

Bangsa Melayu kena ubah minda supaya Tak pupus

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu perlu berani melakukan perubahan minda secara radikal dalam mengharungi cabaran landskap negara yang kini telah berubah secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru dalam negara, dibimbangi akan menghadapi nasib kepupusan seperti dinosaur.

“Dinosaur mempunyai tubuh yang besar tetapi minda yang kecil, minda yang Tak berupaya melakukan pengubahsuaian selaras dengan perubahan persekitaran, memilih kekal hidup dengan habitat lama.

“Lalu populasinya mengecil dan akhirnya pupus, yang tinggal hanyalah bahan-bahan fosil dan dipamerkan di muzium dan dijadikan bahan kajian,” titah baginda.

Ketibaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah di Malam Semarak Perjuangan Anugerah Tokoh Srikandi 2018 sempena ulang tahun Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Hotel Istana Kuala Lumpur. – Foto Zunnur Al Shafiq

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, malam ini.

Baginda menegaskan orang Melayu juga memerlukan kaedah perjuangan baharu untuk memastikan kelestarian bangsanya dalam menghadapi iklim baru politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), agar Tak tercicir ketika menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) dan kecerdasan buatan (AI).

“Orang Melayu hendaklah pantas mengubah minda, berani memeriksa kesalahan diri sendiri, lalu melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya, daripada terus berada di dalam minda penafian untuk menyalahkan orang lain.

“Orang Melayu wajib meneliti realiti semasa, menerima hakikat bahawa telah wujud persekitaran baru di pentas negara dan di pentas dunia. Orang Melayu wajib mencelikkan mata, segera bangun daripada olekan mimpi hari semalam, berani memamah realiti baharu walau sepahit mana sekalipun,” tegas baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah bangsa Melayu yang mahu maju dan dihormati, hendaklah berani membuka minda dan Tak membenarkan dirinya menjadi hamba kekayaan dan menjadi abdi kerana tarikan jawatan sehingga menggadaikan prinsip serta kebenaran.

Titah Sultan Nazrin, walaupun bilangan profesional Melayu telah bertambah, namun bilangan profesional Melayu masih berada di belakang, berbanding kaum-kaum lain.

“Pelbagai skandal menyentuh amanah, rasuah dan integriti, dilaporkan semakin berlaku, malah berlaku pada skala yang begitu besar; dilakukan oleh profesional Melayu yang amat bercanggah dengan pegangan agama Islam selain budaya Melayu yang sangat menegaskan aspek jujur, amanah, harga diri dan maruah.

“Pelbagai ketirisan dan penyimpangan di peringkat pelaksanaan dasar turut mengakibatkan matlamat dan sasaran program ekonomi orang Melayu gagal mencapai sasaran.

“Kepincangan yang sedang berlaku, menuntut orang Melayu mengakui kesilapan, lalu bertekad, segera melakukan pembetulan,” titah baginda. – BERNAMA

Bangsa Melayu kena ubah minda supaya Tak pupus

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *