Jdfalisha_BHfield_image_listing_featured.var_1596708020.jpg

Berkorban demi keluarga

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail

KUALA LUMPUR: Dunia lakonan bukan lagi tumpuan pelakon filem Mat Moto: Kami Mat Moto, Bukan Mat Rempit, Falisha Crossley, 34, Bila mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata.

Bukan sudah melupakan minatnya, tetapi itulah pengorbanan besar yang terpaksa dilakukan wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Sedang hamil anak kedua, Falisha berkata, dia kini selesa menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu, biarpun terpaksa memperlahankan rentak dalam dunia lakonan.

“Saya tak nafikan, tak sempat mahu mencuri masa untuk berlakon sejak berumah tangga dan mempunyai anak. Saya menjaga anak yang masih kecil jika suami bekerja. Saya kini hamil enam bulan.

“Saya sudah terbiasa melakukan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga menjaga keperluan suami dan anak tanpa bantuan pembantu rumah. Semuanya saya mahu uruskan sendiri.

“Sesekali bercuti, suami ringan tulang membantu. Saya pula jenis cerewet nak pastikan semua teratur dan kemas. Jadi, saya selesa buat kerja rumah sendiri,” katanya kepada BH Online.

Falisha Crossley lebih selesa menguruskan suami dan anak tanpa mengharapkan bantuan pembantu rumah. - Foto IG Falisha Crossley
Falisha Crossley lebih selesa menguruskan suami dan anak tanpa mengharapkan bantuan pembantu rumah. – Foto IG Falisha Crossley

Pelakon drama Derhaka Seorang Madu dan Istikharah Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohamad Rafiq Mohmad Arif pada Januari 2017. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Raysha Mikhayla Rafiq yang kini berusia tiga tahun.

Falisha berkata, dia dijangka melahirkan cahaya mata lelaki pada awal Disember depan.

“Saya umumkan jantina bayi kedua pada majlis ulang tahun suami di rumah, baru-baru ini.

“Secara kebetulan, keluarga saya dan suami dari Sarawak serta Sabah hadir, jadi kami buat pengumuman serentak.

“Saya dan suami buat majlis doa selamat, semoga Allah SWT dipermudahkan kelahiran bayi kedua ini,” katanya yang kali terakhir berlakon menerusi telefilem Sakit yang disiarkan slot Cerekarama di TV3 pada 2016.

Katanya, dia rasa segan Bila peminat masih mengharapkannya berlakon lagi.

“Sebelum ini, ada peminat ‘tag’ nama saya di laman Instagram ketika memuat naik sedutan filem Mat Moto yang disiarkan di platform Netflix.

“Anak perempuan ada menontonnya, sambil menyebut nama saya. Suami pun jika ada drama lakonan saya disiarkan di kaca televisyen, dia akan merakamkannya. Kebanyakannya, drama ketika saya masih belum bertudung.

“Lucunya, anak perempuan yang petah bercakap tegur kenapa saya tak pakai tudung’,” katanya.

Berkorban demi keluarga

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail