c1e9125e391ff12e007360b0566bf7fa.jpg

Coronavirus: Umat Islam disaran solat hajat – Mufti Wilayah

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad hari ini menyeru umat Islam di negara ini supaya mengerjakan solat hajat bagi menyelamatkan Malaysia daripada dilanda sebarang wabak penyakit khususnya novel coronavirus (2019-nCoV) yang sedang tular ketika ini.

Gesaan Zulkifli itu dibuat sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mengesan kes jangkitan coronavirus yang pertama di negara ini, pagi tadi.

Menurut Zulkifli, pejabatnya juga akan mengeluarkan Bayan Linnas khusus berkenaan doa dan fiqh berhubung pengurusan jenazah terhadap mangsa coronavirus dalam masa terdekat.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga wabak coronavirus dapat disisihkan dari Malaysia.

“Tindakan pantas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad wajar menerima pujian,” katanya dalam ciapan Twitter @drzul_albakri hari ini.

Mengulas lanjut, mufti Wilayah Persekutuan berkata buat masa ini kerajaan perlu Menyodorkan pemahaman yang jelas kepada rakyat berhubung wabak itu yang tersebar melalui pelbagai medium.

Terdahulu, dalam sidang media di Putrajaya pagi tadi, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Dzulkefly berkata tiga pesakit itu mempunyai kaitan dengan bapa dan anak dari Wuhan, China, yang telah disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

Sementara itu, seorang warga Malaysia yang mengunjungi China baru-baru ini belum disahkan dijangkiti virus itu dan kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur.

Setakat jam sepuluh pagi tadi, angka korban wabak coronavirus di China dilaporkan mencecah 41 orang, meningkat daripada 26 pada Jumaat, dengan 1,300 orang dijangkiti virus itu di seluruh dunia.

Menurut Reuters yang memetik Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, sejumlah 1,287 kes coronavirus telah disahkan di China setakat semalam.

Semua kes maut yang baru berlaku di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei yang dipercayai menjadi tempat virus itu mula tersebar, kata laporan itu lagi.

Hampir semua penerbangan ke bandar-bandar tersebut dibatalkan dan sekatan di jalan keluar utama diwujudkan.

Kes kematian setakat ini hanya berlaku di China, tetapi virus itu dilaporkan turut dikesan di Thailand, Vietnam, Singapora, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis dan Amerika Syarikat.

Coronavirus boleh menyebabkan pneumonia yang pada keadaan tertentu mengakibatkan kematian.

Simptom virus tersebut termasuk demam, batuk dan kesukaran pernafasan.

Coronavirus: Umat Islam disaran solat hajat – Mufti Wilayah

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail