rahimdsa19.transformed.jpg

DSA 2016: Kontrak RM2.9b dimeterai pada hari kedua

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

PENGARAH Urusan DRB Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Syed AR Albar (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Abdul Rahim sambil disaksikan Hishammuddin sempena DSA 2016 di PWTC, hari ini. – Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Sepuluh kontrak pertahanan bernilai RM2.9 bilion berjaya dimuktamadkan pada hari kedua Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Majlis menandatangani dokumen kontrak antara wakil Kerajaan Malaysia dengan sembilan syarikat tempatan dan satu syarikat luar negara itu disaksikan sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Rothiah Omar itu, turut berlangsung majlis penyerahan empat surat setuju terima (LOA), tiga surat hasrat (LOI) serta tujuh memorandum persefahaman (MoU).

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata walaupun dalam keadaan ekonomi Tak menentu, negara masih mampu menandatangani kontrak pertahanan bagi memenuhi keperluan semasa pertahanan negara.

“Dalam situasi cabaran ekonomi sekarang, umum memandang industri pertahanan seolah-olah Tak dapat bertahan, namun menerusi majlis tanda tangan ini, kita lihat industri ini sebenarnya masih berada di landasan membanggakan.

“Apa yang lebih penting, kontrak ditandatangani hari ini ditapis dan dipilih oleh Abdul Rahim dan Rothiah sendiri untuk memastikan kontrak itu mampu dilaksanakan. Majlis ini bukan majlis kosmetik kerana saya minta apa juga yang ditandatangani hari ini mesti ada susulan,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, semua kontrak yang ditandatangani itu ada kaitan dengan tiga daripada lima teras hala tuju Kementerian Pertahanan 2016 iaitu kesiapsiagaan, keselamatan dan kebajikan.

“Mengambil contoh pembelian enam helikopter penggempur ringan model MD530G buatan McDonell Douglas USA yang ditandatangani tadi bagi memenuhi teras kesiapsiagaan, ia juga ada kaitan rapat dengan teras keselamatan kerana kita akan letakkan helikopter ini di Sabah (yang sering berhadapan ancaman pengganas).

“Keduanya, kita lihat tandatangan antara pihak menjayakan program bas sekolah ada kaitan rapat dengan teras kebajikan (untuk warga Angkatan Tentera Malaysia),” katanya.

DSA 2016: Kontrak RM2.9b dimeterai pada hari kedua

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *