17panda2.transformed.jpg

Nuan Nuan dapat adik

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang menerima kelahiran anak kedua seberat 150 gram pada jam 7.50 pagi, 14 Januari lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata berita gembira kelahiran kedua anak pasangan panda itu dengan sendirinya mencatat sejarah Program Konservasi Panda Gergasi negara.

“Malaysia Adalah negara pertama di dunia yang menerima kelahiran anak panda gergasi secara semula jadi, setahun setengah selepas kelahiran anak pertama, Nuan Nuan.

“Ibu dan panda gergasi ini dilaporkan dalam keadaan sihat.

“Ketika ini, dua beranak itu masih dikuarantin dan Tak akan dipamerkan kepada pengunjung sehingga tempoh ditetapkan bagi memastikan tahap kesihatan mereka baik,” katanya pada sidang media di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, jantina bayi panda itu belum dikenal pasti kerana Liang Liang masih melindungi anaknya yang dalam fasa menyusu.

GAMBAR fail, anak panda, Nuan Nuan bermanja bersama ibunya, Liang Liang di Pusat Konservasi Panda, Zoo Negara pada 26 Ogos tahun lalu. – Foto Surianie Mohd Hanif

Katanya, pemantauan secara intensif dilakukan oleh Pegawai Veterinar di Zoo Negara sejak kelahiran terbabit dilaporkan.

“Kelahiran ini membuktikan pengurusan Konservasi Panda Gergasi di Malaysia berada pada tahap terbaik hasil kerjasama pakar pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Menerusi program ini, negara berpeluang menjalankan penyelidikan ke atas panda gergasi selain meningkatkan kepakaran tempatan melalui pemindahan teknologi dari China, terutama dalam pembiakan secara tiruan dan persekitaran terkawal,” katanya.

Liang Liang dilaporkan bunting selama 89 hari sebelum melahirkan anak keduanya.

Wan Junaidi berkata, Malaysia akan memaklumkan kelahiran anak panda kedua itu kepada China dalam masa terdekat.

“Kita juga akan membincangkan beberapa perkara berkaitan perjanjian yang dimeterai menerusi Projek Kerjasama Konservasi Antarabangsa, termasuk hasrat untuk memelihara anak panda itu.

“Banyak perkara perlu dibincangkan secara terperinci termasuk mengambil kira faktor kewangan dan teknikal,” katanya.

Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Nuan Nuan yang juga anak pertama pasangan itu, dilahirkan pada 18 Ogos 2015 sebelum dihantar pulang ke China pada 14 November tahun lalu sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara.

Nuan Nuan dapat adik

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *