MB021017HT003.jpg.transformed.jpg

Pola baju ciptaan Rosita jadi rujukan tiga negara

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Kuala Lumpur : Jasa Pengasas Pusat Rekaan Fesyen Malaysia (FTIM), Rosita Jaafar amat besar termasuk mencipta pola baju yang menjadi rujukan dalam industri jahitan di negara ini dan luar negara.

Rosita, 53, Adalah satu-satunya wanita yang mempelopori ciptaan pola baju, dinamakan RJ Pola untuk rujukan ribuan pereka fesyen dan tukang jahit.

Beliau juga menulis 17 buku jahitan dan kraftangan sebagai bahan rujukan pelbagai pihak yang berminat menceburi bidang fesyen.

Rosita berkata, beliau mahu menyalurkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman untuk melahirkan lebih ramai pereka fesyen yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Katanya, pola baju yang pertama dicipta itu menggunakan acuan dan saiz masyarakat tempatan yang diterbitkan FTIM.

Setiap rekaan disediakan pola baju dengan pelbagai saiz untuk memudahkan rujukan tukang jahit.

“Banyak butik dan usahawan dalam bidang jahitan menggunakan pola itu untuk rekaan jenama baju mereka dengan saiz S, M, L dan XL” katanya.

RJ Pola menyediakan pelbagai jenis potongan untuk kanak-kanak, lelaki dan wanita dalam pelbagai jenis baju daripada ringkas seperti gaun kanak-kanak Sampai ke potongan rumit seperti seluar kargo.

“Di luar negara sudah lama ada pola sebegini. Di sini saya lihat ia Tak begitu popular. Tetapi dengan penciptaan pola ini ia sudah diguna pakai di negara ini, Singapura dan Brunei,” katanya kepada BH Online

Rosita banyak menganjurkan kursus jahitan, sulaman, kraftangan dan membangunkan pelbagai jenis perniagaan berkaitan industri fesyen.

Nama Rosita tercatat dalam Malaysia Book of Records Bila mereka gaun menggunakan 200,000 gula-gula ketika Pameran baju Gula-Gula Pertama, di Muzium Negara pada 2002.

Sejak itu namanya, kian dikenali dan antara insan pertama mengajar teknik menjahit menerusi alam maya dengan modul tersendiri dan boleh dimuat turun.

Beliau juga bertanggungjawab menyediakan pembangunan kurikulum jahitan di sekolah di negara ini.

RJ Pola menyediakan pelbagai jenis potongan untuk kanak-kanak, lelaki dan wanita dalam pelbagai jenis baju. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Baru-baru ini, beliau juga memberi buku hasil tulisannya itu secara percuma bagi membolehkan lebih ramai wanita belajar seni jahitan.

“Ada beberapa buku tulisan saya dijual di Dubai, Australia, New Zealand, London, Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei.

“Dua daripada buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia untuk dijual di pasaran negara itu.

“Buku saya juga menjadi rujukan dan bahan pengajaran pelajar kolej, universiti dan badan kerajaan yang mengikuti bidang fesyen,” katanya yang mahir menjahit sulaman manik, permata, labuci dan kristal sejak berusia enam tahun hasil inspirasi ibunya, Maimunah Mohd Hatim.

Beliau berkata, sejak penubuhan FTIM pada 1999, ribuan tukang jahit berkemahiran dilahirkan dan sebilangan besar menjadikan ia sebagai kerjaya yang menjana pendapatan lumayan.

“Saya Tak ada duit, cuma ada ilmu ini untuk disumbangkan dalam bidang jahitan supaya mereka boleh menjadi usahawan berskala besar seperti di Vietnam dan China,” katanya.

Beliau berkata, jika Tak menjadi usahawan tukang jahit, individu boleh gunakan kemahiran itu menjahit baju sendiri atau untuk keluarga.

BUKU jahitan dan kraftangan yang dihasilkan oleh Rosita Jaafar. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Profil:

Rosita Jaafar

Asal : Johor

Umur: 53 tahun

Kelulusan :

* Diploma Pengurusan Perniagaan.

* Diploma Rekaan Fesyen.

* Sijil fotografi, Sulaman dari Japan Embroidery Toho.

Jawatan:

* Pengarah dan Pengetua FTIM sejak 1999.

* Perunding bebas

* Penulis buku

* Tenaga pengajar bidang fesyen di Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia

* Diiktiraf Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kraftangan Malaysia sebagai pakar perunding fesyen dan sulaman negara.

* Gaun diperbuat daripada 200,000 gula-gula dicatatkan dalam Malaysia Book of Records pada Pameran baju Gula-Gula Pertama, di Muzium Negara, pada 2002.

* Pernah berkhidmat dalam bidang korporat, Epson Precision di Johor dan di Maxis.

Pola baju ciptaan Rosita jadi rujukan tiga negara

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *