230e07f7e8fc39b8d52083c7b312a267.jpg

'Sebelum ke universiti, cikgu belanja pulut durian'

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Bagi memberi kelainan dan keunikan dalam meraikan pelajar cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, Kota Bharu, memilih hidangan tradisional iaitu pulut durian kepada 35 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang Akan bergelar mahasiswa.

Pengetuanya, Mohd Nazri Muhamad, berkata majlis yang diadakan hasil sumbangan guru-guru di sekolah bagi meraikan pelajar mereka yang berjaya menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam keputusan STPM pada tahun lalu.

Menurutnya, idea untuk mengadakan majlis jamuan pulut durian itu tercetus secara spontan memandangkan pada masa ini buah durian sedang bermusim di pasaran negeri Kelantan.

“Sebelum ini, kami meraikan pelajar cemerlang dengan membawa mereka Santap di restoran atau hotel, tetapi tahun ini kita buat sedikit kelainan.

“Kami memberi sedikit keunikan dengan menjamu dengan hidangan pulut durian melibatkan pelajar lepasan STPM 2018 dan guru-guru.

“Majlis meraikan mereka yang cemerlang ini sudah diadakan sejak 2016 lagi bagi menghargai pelajar yang berjaya dalam pengajian sekali gus mengharumkan nama sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di sekolah berkenaan.

Tambah beliau, pada tahun 2016 Sampai 2018 peratusan pelajar STPM di SMK Mulong yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA meningkat sehingga 96 peratus.

Katanya, keputusan SPTM sekolah tersebut pada tahun lalu mencapai 96 peratus pelajar yang berjaya ke menara gading.

Selain itu tambah Mohd Nazri, sempena majlis itu juga pihak sekolah menyampaikan saguhati kewangan kepada pelajar terlibat sebagai menghargai pencapaian mereka.

“Selain itu, bagi pelajar yang kurang berkemampuan atau menghadapi kekangan kewangan, pihak sekolah sedaya upaya akan membantu selain memberi galakan kepada mereka kerana apa yang penting pelajar-pelajar cemerlang ini dapat menempatkan diri dalam IPTA.

“Ini bagi memastikan mereka yang layak ke universiti dapat meneruskan pengajian dengan sempurna sekali gus menjamin masa depan yang lebih baik,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Atikah Mohd Shekri, 20, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada guru-guru di SMK Mulong yang banyak membantunya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.

“Semasa berada di semester dua, saya pernah berasa kecewa kerana mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 1.97 sehingga menyebabkan saya terpaksa mengulangi hampir kesemua kertas.

“Hasil usaha gigih dan sokongan guru-guru saya bangkit semula dan alhamdulillah segala penat lelah selama ini berbaloi Bila dipilih menyambung pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada bulan hadapan,” katanya.

Bagi Wan Amirul Afiq Wan Nor, 20, yang Akan menjadi mahasiswa Universiti Utara Malaysia berkata, dia amat menghargai majlis yang dianjurkan pihak sekolah bagi meraikan kejayaannya dan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, rasa seronok dan terharu dengan majlis ini. Ia akan menjadi kenangan indah dan semangat kepada saya dan kawan-kawan untuk menempuhi masa depan,” katanya. 

'Sebelum ke universiti, cikgu belanja pulut durian'

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *