10beyonf.transformed.jpg

Sektor perkhidmatan pemacu utama ekonomi Malaysia

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama para Pakar Majlis Eksport Negara selepas melancarkan Kempen ‘Beyond Nations’ di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Majlis Eksport Negara (NEC) menggariskan beberapa strategi bagi meningkatkan prestasi sektor perkhidmatan utama khususnya pembinaan; teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT); pendidikan serta pelancongan.

Strategi itu termasuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan pembinaan Malaysia dalam projek antarabangsa menerusi perkongsian strategik antara perusahaan kecil dan sederhana (IKS) dengan syarikat multinasional (MNC); memacu eksport perkhidmatan ICT, kandungan ICT dan media; meningkatkan kehadiran jenama perkhidmatan pendidikan Malaysia di luar negara, selain meningkatkan kemasukan pelancong.

Menurut MATRADE, strategi berkenaan disasarkan bagi menangani defisit sektor perkhidmatan Malaysia sejak 2010 dan sejajar Rangka Tindakan Sektor Perkhidmatan yang dilancarkan tahun lalu.

Katanya, cadangan dipersetujui NEC itu juga konsisten dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11), yang menyasarkan peningkatan dalam pendapatan eksport sektor perkhidmatan lebih 40 peratus daripada RM135 bilion dicatatkan pada 2015 kepada RM195 bilion.

“Sektor perkhidmatan, yang menyumbang sekitar 53.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Sumbangan perkhidmatan kepada KDNK sedang meningkat dan menjelang 2020, sumbangan disasarkan mencecah 58 peratus,” kata MATRADE menerusi kenyataan, hari ini.

Strategi berkenaan dibincangkan pada mesyuarat NEC keempat dan terakhir bagi 2016 di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi sektor pembinaan, NEC membincangkan strategi bagi meningkatkan eksport dan mengurangkan import dengan memupuk kontraktor tempatan menjadi lebih kompetitif di peringkat Dunia, meningkatkan lebih banyak perkhidmatan profesional Malaysia di luar negara serta menubuhkan konsortium dalam memenangi projek di luar negara.

NEC juga menekankan keperluan bagi kontraktor dan pemaju tempatan memanfaatkan kandungan Malaysia dalam projek tempatan dan di luar negara.

Dalam meningkatkan profil pemain Malaysia dalam sektor pembinaan, inisiatif seperti Malaysia Inc dan Program Usaha Sama IKS-Syarikat Besar akan memainkan peranan utama dalam menyokong industri.

NEC juga memberi perhatian terhadap rancangan kerajaan untuk meningkatkan jumlah penuntut asing di Malaysia secara Kerajaan-kepada-Kerajaan.

Info

Antara Strategi NEC

  • Tumpuan diberikan kepada eksport perkhidmatan ICT, kandungan ICT dan media
  • Ia berikutan kedua-dua sektor itu diunjurkan berkembang 30 peratus menjelang 2019 di ASEAN
  • Sektor itu dijangka berkembang pada kadar tahunan 10.6 peratus, untuk mencecah nilai eksport RM47.5 bilion pada 2020

Sektor perkhidmatan pemacu utama ekonomi Malaysia

Related posts:

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *