HINUNG24-O_BHfield_image_listing_featured.var_1558655694.jpg

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, 3 polis ditahan

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

IPOH: Sindiket memperdagangkan manusia membabitkan penyeludupan warga India yang sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dengan menjadikan sempadan negara terutama di Pengkalan Hulu, dekat sini tumpas dengan tertangkapnya dalang utama kegiatan itu dalam serbuan pihak berkuasa semalam.

Operasi bersepadu secara besar-besaran dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta Imigresen Thailand bermula Isnin lalu Sampai semalam, dijalankan di beberapa lokasi sekitar Alor Setar dan Baling, Kedah serta Pengkalan Hulu.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail, berkata tiga beranak yang menjadi dalang utama sindiket berkenaan ditahan dalam serbuan terakhir kira-kira 1 tengah hari semalam di sebuah hotel di Baling membabitkan lelaki warga India berusia 58 tahun bersama isterinya wanita tempatan berusia 52 tahun serta anak lelaki mereka berusia 19 tahun yang mempunyai pas pemastautin.

“Turut diberkas tiga anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan bertugas di Kompleks Imigresen Pengkalan Hulu yang memainkan peranan sebagai pengatur dan pengangkut atau ejen pembawa warga asing keluar ke Thailand.

“Ketiga-tiga mereka diberkas di Pengkalan Hulu pada malam sebelum tiga beranak berkenaan ditahan dan kini diberi jaminan polis untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya.

RAMPASAN cop palsu, pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan Pas Khas palsu selepas penahanan warga India dalam operasi bersepadu secara besar-besaran dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Perak. – Foto Abdullah Yusof

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak (Siasatan dan Perundangan), Superitendan Datin Seri Halimathon Ahmad, di Ibu Pejabat JIM Perak di sini malam tadi.

Katanya, operasi selama empat hari itu membabitkan tangkapan keseluruhan seramai 51 orang membabitkan 44 lelaki warga India, seorang wanita warga India, dua lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan tiga anggota polis dalam serbuan di beberapa hotel serta inap desa sekitar Baling dan Pengkalan Hulu.

Katanya, pelbagai rampasan juga dibuat termasuk cop palsu, pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, Pas Khas palsu, telefon bimbit, tiga kereta dan dua motosikal selain wang tunai RM13,750.

“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan ada tangkapan dibuat namun hanya membabitkan warga India yang diseludup manakala dalangnya gagal diberkas kerana sering berpindah dengan menjadikan inap desa atau hotel untuk beroperasi.

“Sejak Disember tahun lalu, Imigresen dengan kerjasama pelbagai agensi lain mula menjalankan risikan dan pemantauan terhadap sindiket berkenaan bagi mengenal pasti dalang utama yang akhirnya berjaya diberkas hari ini (semalam).

“Modus operandi sindiket ini Adalah menjadikan pintu sempadan negara di Kedah, Perlis dan Perak untuk menyeludup keluar warga India ke Thailand sebagai negara transit sebelum semuanya dihantar ke negara Eropah dengan bayaran sebanyak RM4,000 Sampai RM5,000 seorang.

“Semua warga India berkenaan masuk Malaysia melalui beberapa pintu negara termasuk di Johor dan KLIA Yang Akhirnya ditempatkan di hotel dan inap desa berhampiran sempadan Thailand sebelum dibawa keluar oleh anggota polis yang bersubahat dengan sindiket pada waktu pagi ketika masuk bekerja dengan kekerapan dipercayai 15 kali sebulan menggunakan kereta sendiri yang kebiasaannya Tak diperiksa,” katanya.

Kamalludin berkata, pihaknya percaya sindiket itu berjaya dilumpuhkan keseluruhannya dan akan memburu saki baki sindiket termasuk pegawai atau anggota agensi keselamatan yang mungkin terbabit sebelum semuanya didakwa mengikut Akta Imigresen serta akta lain yang berkenaan.

Sementara itu, Halimathon berkata, anggota polis yang ditahan Adalah seorang Sarjan berusia 57 tahun yang bertugas di Pengkalan Hulu sejak 2016 dan seorang Konstabel sokongan serta Konstabel yang kedua-duanya berusia 22 tahun serta bertugas di daerah sama sejak 2017 dan 2018.

“Jika ketiga-tiga anggota ini terbukti terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan mereka akan dihukum mengikut undang-undang selain diambil tindakan tatatertib,” katanya.

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, 3 polis ditahan

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *