WhatsApp_Image_2018-03-02_at_09.50.18.jpeg.transformed.jpg

Sumbangan BARAKAH untuk masyarakat Cina diteruskan

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

ALOR SETAR: Sumbangan kotak Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) untuk masyarakat Cina di negeri ini, akan diteruskan selagi masyarakat itu memerlukan bagi meringankan beban kehidupan harian mereka.

Pengerusi Parti GERAKAN Negeri Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai, berkata sumbangan BARAKAH membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Masyarakat Cina menyambut baik program BARAKAH yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada April 2016.

“Semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina sahaja sebanyak 50,000 kotak BARAKAH diagihkan kepada masyarakat Cina.

“Sumbangan ini Tak bersandarkan kepada musim tertentu sahaja, kerajaan negeri akan terus memberi peruntukkan itu berdasarkan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sayangi Komuniti dan Jamuan Tahun Baharu Cina di Flat Taman Setia Jaya, di sini, kelmarin.

PENGERUSI Parti Gerakan Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai (lima dari kiri) mengacau yee sang bersama pemimpin dan penduduk Flat Taman Setia Jaya sempena Program Sayangi Komuniti dan Jamuan Tahun Baru Cina. – Foto Noorazura Abdul Rahman

Dr Cheah yang juga penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga yakin sumbangan itu akan memperkukuhkan perpaduan antara kaum serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Katanya ia juga menggambarkan kerajaan di bawah BN serius dalam usaha membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

“BARAKAH bukanlah bertujuan untuk memancing undi, ia diagihkan sepanjang masa untuk rakyat memerlukan, saya yakin masyarakat Cina sendiri dapat menilai segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan BN.

“Sejak MB mengambil alih pucuk kepimpinan negeri, beliau melakukan kerja dan membantu rakyat tanpa henti dan ini hanya dapat dilakukan oleh pemimpin daripada parti BN sahaja,” katanya.

Sementara itu, Dr Cheah melahirkan rasa bangga Bila jawatankuasa Rukun Tetangga Kawasan Taman Setia Jaya dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Daerah Kota Setar, Padang Besar dan Utama Sena mampu melaksanakan majlis dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum.

Katanya jalinan kerjasama pelbagai kaum di kawasan itu harus dicontoh bagi penempatan yang komposisi masyarakatnya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Yang turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar, Utama Sena dan Padang Terap, Mohd Zaizulman Zainal Abidin.

Sumbangan BARAKAH untuk masyarakat Cina diteruskan

Related posts:

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *