18339573_10154571265086732_1724689105_o.png.transformed.jpg

Syor sekolah aliran Inggeris di Sabah dapat reaksi positif

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

ABDUL Rahman beramah mesra dengan peserta Program English 4 Employment (E4E) di Cosmopoint College Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan semula sekolah aliran Inggeris di Sabah sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dan beberapa pihak berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata maklum balas diterima setakat ini positif termasuk Perdana Menteri menyambut baik cadangan itu, namun belum ada sebarang perbincangan secara rasmi dilakukan.

“Walaupun cadangan ini (sekolah aliran Inggeris di Sabah) masih di peringkat awal, namun ia menunjukkan perkembangan positif. Kita sedar berapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris dalam keperluan kehidupan seharian dan pembinaan kerjaya.

“Sekolah seumpama ini dilihat mampu merapatkan jurang dari segi perpaduan kerana bagi saya ramai rakyat bukan Bumiputera akan kembali ke sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris untuk mereka memperbaiki tahap penguasaan bahasa itu untuk anak masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program English 4 Employment (E4E) di Cosmopoint College Kota Kinabalu di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Cosmopoint, Mohamad Kamal Nawawi serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

E4E yang disertai 100 graduan Adalah program berasaskan praktikal yang menyasarkan graduan belum bekerja untuk melengkapkan diri dengan kemahiran bahasa Inggeris relevan yang diperlukan bagi mendapatkan pekerjaan dalam industri hospitaliti, kulinari dan pelancongan.

Semua peserta terbabit Akan menjalani kursus intensif selama lapan minggu iaitu enam minggu pembelajaran di kolej dan dua minggu latihan industri.

Baru-baru ini, Abdul Rahman mencadangkan sekolah kerajaan aliran Inggeris diwujudkan semula di Sabah bagi mempertingkat penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.

Beliau dilaporkan berkata, sebagai permulaan, Kementerian Pendidikan dicadang melaksanakan projek perintis di beberapa sekolah rendah dan menengah terpilih di kawasan bandar termasuk Maktab Sabah yang dilihat berpotensi dan bersedia menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran.

Ia antara langkah bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Sabah, sekali gus membolehkan negeri ini ‘berlari’ lebih cepat dalam mengejar seterusnya mengurangkan jurang pembangunan antara negeri di Semenanjung.

Syor sekolah aliran Inggeris di Sabah dapat reaksi positif

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *