20rashid.transformed.jpg

Tahanan lari: Polis buka kertas siasatan

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. – Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes seorang suspek rogol dan rompak yang melarikan diri daripada tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata siasatan itu membabitkan kes tahanan lari dari kawalan polis dan kecuaian anggota polis.

Selain itu, katanya, polis juga mengkaji Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai tahanan untuk mengenal pasti jika ada kelemahan.

“Kita sudah ada SOP yang cukup ketat berkaitan kawalan ke atas orang yang ditahan, kita memandang serius isu ini kerana kita Tak boleh sewenangnya melepaskan orang yang kita dah buru dengan mudah.

“SOP berkaitan kawalan suspek ditahan ini kita sentiasa teliti setiap 3 bulan untuk menambah baik dan kita juga harap kejadian tahanan lolos baru-baru ini akan beri kita ruang untuk perbaiki SOP kita,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka Saum Celcom Axiata bersama Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik Jalan Bandar.

“Tahanan yang lari itu kita akan dakwa di mahkamah atas kesalahan lari daripada tahanan sementara anggota polis yang terbabit kita akan dakwa atas kecuaian.

“Jika bukti Tak mencukupi, kita akan ambil tindakan tatatertib ke atas anggota yang terbabit,” katanya.

Noor Rashid berkata demikian ketika mengulas kejadian suspek lelaki kes samun dan rogol yang ditahan hari ini selepas melarikan diri melalui tandas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara semalam.

Suspek warga Indonesia berusia 27 tahun itu ditahan di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada jam 7 pagi tadi.

Pada 7 Jun lalu, suspek dipercayai merogol seorang wanita berusia 34 tahun ketika dia dan dua lagi rakannya memecah masuk sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Tahanan lari: Polis buka kertas siasatan

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail